-->
Welcome to My Blog . Happy blogging !
skip to main | skip to sidebar
RUANG RASA FARESHA AZAHAR

Friday, 1 November 2013

BEST KE MATEMATIK ?

DISINI SAYA BERIKAN BEBERAPA TIPS YANG BOLEH MEMBANTU.
1. wujudkan minat terhadap matematik walaupun tak pandai kerana segalanya bermula dengan minat. jika kita minat pada sesuatu itu, kita akan berusaha mendapatkannya.

2.       Kena Buat Banyak latihan. Matematik adalah latihan dan latihan adalah matematik. Maksud saya, matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai matematik kerana saya buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap.

3.       Kena Displin. Matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu, maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.

4.       Hafal Sifir. Perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan lima yang di uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir? Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.

5.       Azam yang kuat untuk Berjaya dan menguasai matematik. Matematik ialah subjek yang seronok apabila anda minat dan mula menguasai. Anda akan puas hati dan paling gembira apabila Berjaya selesai masalah.

Siapa yang pandai matematik ia adalah pintar, Bukan sahaja bidang matematik sahaja tetapi bidang atau subjek lain, jika ia pandai matematik.

Jangan lupa baca quran dan berdoa, mudahan anda berjaya cemerlang dalam peperiksaan tahun ini. Baca Fatihah dan Alamnasrah di waktu pagi dan malam, mohon Allah permudahkan belajar adik.

Terima Kasih Baca Cerita Saya

Dicatat oleh Unknown di 8:07 pm No comments:

SIAPA JODOHKU ?

Kenali ‘Kriteria’ Sebelum ‘Si Dia’
Remajaku sayang,
Usah terlalu peningkan kepala berfikir hendak berkahwin dengan siapa. Kenalilah ‘kriteria’nya sebelum ‘calon’nya. Imam Ghazali memperkenalkan kriteria pasangan soleh 10 tahun sebelum anaknya mula mencari.
“Mak abah saya tak buatpun macam Imam Ghazali,” cebik remaja.
Tidak mengapa! Mungkin mereka tidak tahu. Jika mereka tahu, boleh jadi mereka akan segera lakukannya. Maafkanlah mereka. Yang lepas biarlah lepas. Kita kan masih ada ‘hari ini’ untuk menambah ilmu?

Lebihkan ‘Menjadi’ daripada ‘Mencari’
Remaja,
Masih sudi lagi dengar ‘sharing’ daripada akak? Jom!
Sekiranya nanti dirimu meminati seseorang, sudah tentu dirimu tidak mahu bertepuk sebelah tangan. Betul kan?
Sekiranya dirimu meminang, sudah tentu kau tidak mahu pinanganmu ditolak. Setuju tak?
Tipnya mudah sahaja. Lebihkan ‘menjadi’ daripada ‘mencari’. Sinergikan dengan doa ke hadrat si Pemegang Hati. Insya-Allah cintamu pasti berbalas. Siapa yang tidak mahu sesusuk periba
“Hah, menjadi?”
Ya! Jadilah peribadi yang mampu mendidik diri sendiri. Kemudian, insya-Allah mampu menjadi pendidik buat generasi masa depan. Orang yang mempersiapkan diri menjadi individu Muslim lebih berpotensi membangunkan sebuah ‘baitul Muslim’ (rumah tangga yang menegakkan nilai-nilai Islam).

Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat
Remaja semua nak kahwin, kan? Bagus! Normal tu. Alam perkahwinan bagaimana yang diinginkan? Penuh cinta atau penuh sengsara?
Ketahuilah, banyak punca-punca permasalahan dalam rumah tangga termasuklah masalah dalam mendidik anak-anak boleh dicegah seawal kita mempersiapkan diri menjadi peribadi soleh dan solehah. Juga seawal kita membuat pemilihan yang terbaik terhadap pasangan hidup kita. Inilah tanda kebijaksanaan mencegah  sebelum merawat.

Bayangkan…
Lahirnya seorang bayi comel ke dunia. Suci. Bersih. Dia melihat ibunya yang susah tersenyum. Dia melihat ayahnya yang monyok memanjang. Dia melihat lingkungan keluarganya yang asyik bercakaran.
Secara fitrahnya, si kecil itu mencari-cari wajah yang berseri-seri. Telinganya mencari-cari kata-kata yang baik. Namun, ibubapanya yang gagal mempersiapkan diri dengan akhlak penuh senyuman dan kelembutan sebelum bernikah, biasanya akan terbawa-bawa akhlak itu selepas bernikah, dan selepas menjadi ibu bapa. Si kecil itu menadah dan menyerap dengan mudah apa sahaja yang terhidang di sekelilingnya itu. Agaknya, dia akan membesar menjadi anak yang bagaimana?


Remajaku sayang,
Remaja sudah tentu mahu menjadi ibubapa yang hebat suatu hari nanti kan? Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi peribadi anak-anak seperti pengaruh ibubapa, pemakanan, genetik, persekitaran, rakan sebaya, guru dan sebagainya. Faktor ibubapa adalah faktor yang paling besar kesannya ke atas agama anak-anak tersebut hinggakan Rasulullah SAW mengingatkan,
“Setiap bayi lahir dalam keadaan fitrah (Islam dan mengabdikan diri kepada Allah). Maka, ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR. Bukhari).
Pesan Atok yang bernama Ibnul Qayyim al-Jauziyah, “Barangsiapa dengan sengaja tidak mengajarkan apa yang bermanfaat bagi anaknya dan meninggalkannya begitu sahaja, bererti dia telah melakukan suatu kejahatan yang sangat besar. Kerosakan pada diri anak kebanyakannya datang dari sisi orang tua yang mengabaikan mereka dan tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan agama serta sunnah-sunnahnya.”

Semuanya Ujian
Jika remaja lahir dalam keluarga yang baik, bersyukurlah. Pengaruh baik ibubapa itu akan memberi kesan besar dalam melahirkan seorang remaja yang maju, hebat, berkeyakinan diri, tetap pendirian dan berwawasan jauh.
Jika remaja lahir dalam keluarga yang kurang baik, bersabarlah. Semua itu hakikatnya suatu ujian. Jangan merintih pada ujian. Kreatiflah mencari penyelesaian. Banyak hikmah di sebaliknya. Jika remaja positif menerima ujian ini, lihatlah kesan positif yang bakal diterima.
Antaranya, remaja yang biasa dileteri, dicalari hati dan perasaannya bakal menjadi ibubapa yang memahami jiwa anaknya. Belajar dari pengalaman itu, maka, dia mendidik dan menasihati anaknya dengan komunikasi berkesan, bukan dengan meleteri, menghukum, menunjuk protes diam, menutup pintu berdentum dentam atau memulau.
Antara lain juga ialah, remaja yang biasa disakiti, bakal menjadi ibubapa yang prihatin terhadap kesakitan anaknya, maka dia tidak memukul sembarangan. Pukulan hanya alternatif terakhir setelah nasihat diberikan berkali-kali dengan penuh hikmah. Itupun tidak boleh memukul ketika marah. Tidak boleh memukul untuk betul-betul menyakiti. Mesti bertujuan mendidik. Jika tidak, ini suatu pencabulan terhadap ‘amanah’ Allah. Allah tidak buta melihat sakitnya anak didera. Allah tidak tuli mendengar tangisan anak disakiti. ‘Amanah’ pasti ditanya!

Pilihan di Tanganmu!
Sambunglah kekuatan ibubapa kita. Usah diulangi kesilapan mereka. Jangan pula kita memilih kesilapan yang sama untuk mendidik anak-anak kita nanti. Bimbang, apa yang kita beri itulah biasanya yang kita dapat.    
Pilihlah mencegah sebelum mengubat. Itu yang terbaik (high class). Namun, jika kita gagal ‘mencegah’ ketika remaja, jangan bunuh potensi hari ini untuk ‘merawat’. Sentiasa ada jalan. Yakinlah!
Analoginya, orang yang gagal ‘mencegah’ daripada mengamalkan cara hidup tidak sihat pada masa mudanya, mudah mendapat penyakit pada zaman tuanya.  Ketika muda dia tidak mengambil makanan seimbang dan melakukan senaman rutin, lalu dia menderitai penyakit ‘Janda Manis’ iaitu sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Mengubat itu memang sakit. Tapi, lebih sakit lagi jika kita membiarkan diri menderitai kesakitan itu terus-menerus. Perlu mengubat setelah sakit! Andai seseorang diberi peluang mengundur ke masa lalu, sudah tentu dia memilih kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.
Cegahlah dirimu daripada berakhlak buruk. Bimbang nanti anakmu juga mewarisi akhlak itu. Cegahlah dirimu daripada memilih pasangan yang tidak beragama atau tidak berminat mendalami agama. Bimbang nanti, anakmu menceduk akhlak pasanganmu itu. Pilihlah ibu atau ayah yang terbaik untuk anak-anakmu. Pengaruhnya sangat besar!

Anak Suatu Amanah
Jom, mari kita dengar pula pesan Atok yang bernama Imam Ghazali,
“Anak adalah amanah (bukan beban, tau!) di tangan kedua orang tuanya. Hatinya yang suci adalah mutiara yang masih mentah, belum dipahat mahupun dibentuk.
“Mutiara ini dapat dipahat dalam bentuk apapun, mudah condong kepada segala sesuatu. Apabila dibiasakan dan diajari dengan kebaikan, maka dia akan tumbuh dalam kebaikan itu.
“Dampaknya kedua orang tuanya akan hidup berbahagia di dunia dan di akhirat. Semua orang dapat menjadi guru dan pendidiknya. Namun, apabila dibiasakan dengan keburukan dan dilalaikan, seperti dilalaikan haiwan, pasti si anak akan celaka dan binasa. Dosanya akan melilit leher orang yang seharusnya bertanggung jawab atasnya dan menjadi walinya.” (Risalah anjahul wasa’il).
Abul A’la bersyair indah,
Seorang anak tumbuh dewasa di antara kita,
Sesuai dengan apa yang dibiasakan oleh bapanya,
Seorang pemuda tidaklah beragama dengan begitu sahaja,
Kerabatnyalah yang membiasakannya beragama.

Terima Kasih Baca Cerita Saya

Dicatat oleh Unknown di 7:55 pm No comments:

MUDA SEBELUM TUA

Masa adalah suatu bentuk penciptaan Allah yang ajaib.Ia tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Setiap insan pasti pernah lalui masa lampau dan bakal menjalani masa depan. Tetapi masa tidak berkait dengan Allah kerana ia juga makhluk. Sebab itu wujudnya Allah itu tiada permulaan dan pengakhiran kerana semuanya dibawah kuasa Allah.
Masa sebenarnya menjerat manusia jika ia dibiarkan berlalu sia-sia. Masa lalu tidak bisa diputar kembali walau sebanyak mana harta yang kita punya untuk dijadikan sebagai ganti. Namun begitu, ia bukan suatu perkara yang perlu disesali kerna apa yang penting masa hadapan yang bakal kita tempuhi bagaimana cara terbaik untuk kita kemudi?
Dalam al-Quran sering Allah bersumpah dengan masa bahkan secara jelas disebutkan pada setiap waktu itu, sama ada pagi, petang atau malamnya. Yang pasti, manusia itu pasti dalam kerugian pada setiap detik yang berlalu itu seperti yang disebutkan oleh Allah. Pun begitu, mereka yang berusaha memanfaatkan masa dengan sebaiknya, maka mereka inilah tergolong dalam golongan yang beruntung baik pada dunianya mahupun akhirat.
Masa itu kehidupan.Pepatah yang sering dikait bila disebut mengenai masa. Dan kehidupan manusia yang paling utama adalah ketika mana dalam usia mudanya baik untuk manfaat dunia lebih lagi manfaat akhirat. Bagaimana?
Jika seseorang berhajatkan dunia semata, masa muda menjadi waktu yang utama.Sewaktu kecil mungkin tanggungjawab ibubapa untuk menjaga mereka. Bila usia kian dewasa, mereka perlu berusaha belajar, bekerja bersungguh-sungguh untuk kejar cita-cita tersendiri. Kereta mewah?Rumah besar?Dan pelbagai impian yang sering menjadi idaman setiap insan.
Lebih lagi seseorang yang berhajatkan dunia dan akhirat.Dunianya sahaja tidak boleh ditinggalkan.Perlu tetap berusaha untuk mengecapi semuanya.Cuma, perlu tambahan usaha untuk bekalan hari kemudian berbentuk amalan.Apa yang penting di sini adalah setinggi atau sejauh mana cita-cita seorang manusia, walau apa jua matlamatnya, masa muda menjadi asset utama penentunya.
Amat rugilah mereka menggunakan masa muda hanya bermatlamatkan dunianya sahaja kerana pada usia yang sepatutnya menjadi usia emas inilah segala-galanya mereka punya. Kekuatan fizikal.Kecerdasan mental.Keberanian dan kesungguhan semuanya menjadi pakaian.Tetapi bukankah pada Allah kita bakal dikembalikan?Justeru itu, seharusnya bagaimana mungkin kita menjadikan masa muda kita ini bermakna?

Selagi Masih Muda
Bagi sebuah bangsa, pemuda disebut sebagai agent of change bagi setiap generasi yang wujud.Sebuah perjuangan, tidak mengira ideology apapun yang menjadi taruhan, hampir mustahil sukses tanpa campur tangan orang muda. Sejarah membuktikan hal demikian seperti yang dilaksanakan oleh baginda s.a.w  menawan hati kaum muda pada awal dakwahnya.
Sayang, kini ramai pemuda Islam terutamanya menjadi mangsa sembelihan jahilliyah.Mereka terkepung oleh 1001 media dan sarana yang memuaskan kehendak nafsu.Mereka terjebak menggunakan masa dengan aktiviti yang tidak bernilai ibadah, merosakkan diri sendiri dan menghancurkan potensi.Mereka kemudian terhempas menjadi generasi yang tidak memiliki jati diri dan pegangan hidup.
Sayang, sungguh sayang! Walhal masa muda adalah waktu bunga potensi diri tumbuh mengembang. Tetapi kesalahan memanfaatkan akan membawa pemuda ke gerbang kegagalan. Hakikatnya, masa muda seorang manusia tidak hanya terikat dengan urusan dunia kerna sebagai muslim setiap amalan yang dilakukan pasti ada balasan. Dengan itu, sebenarnya tiada perkara hanya untuk dunia sahaja.

Begini seharusnya waktu muda
Ada beberapa perkara yang disebutkan oleh Dr ‘Aid Abdullah al-Qarny yang bagus untuk kita sebagai pemilik jiwa yang muda jadikan semakan bersama sebagai langkah kita membumikan masa muda dengan lebih bermanfaat. Antaranya:
  1. Memerhatikan amalan fardu
Bagi mereka yang kurang pengetahuan dalam amalan fardu, sebaiknya ia dipelajari kerana ia merupakan kewajipan bagi setiap individu muslim. Mereka yang selangkah dihadapan yang sudah mengetahuinya pula, perlu buat semakan semula kesempurnaannya kerana dengan kondisi amalan yang sempurna akan membuahkan kesan dalam kehidupan manusia.
Sebagai contoh, bagi mahasiswa terutamanya yang tinggal bersendirian jauh dari keluarga, tidak kira jelas pengetahuan agama atau terkurang darinya sering kelewatan dalam menunaikan solat terutama pada dini hari (subuh).Sedangkan, sebahagian daripada kesempurnaan solat itu juga dikerjakan di awal waktu kecuali dengan keuzuran.Maka seharusnya,diari harian kita perlu diisi dengan muhasabah kendiri supaya kita boleh memperbaiki kelemahan diri.
Dalam lembaran sejarah nabi s.a.w memfokuskan terlebih dahulu soal hal-hal yang wajib pada awal usia dakwah baginda. Sebuah hadis yang disepakati akannya ada menceritakan sabda baginda s.a.w yang mana Allah berfirman:
“Tidak ada usaha hamba-Ku untuk mendapat redha-Ku yang lebih Kucintai daripada melaksanakan hal-hal yang Ku-wajibkan kepadanya.Hamba-Ku senantiasa berusaha mendapatkan keredhaan-Ku hingga Aku mencintainya.”(HR Bukhari)
Amalan fardu menjadi petanda hubungan kita dengan Allah kerna ia adalah perintah wajib yang diarahkan. Jika baik amalan fardu maka seharusnya baiklah hubungan kita dengan Allah. Bahkan ia menjadi suatu bentuk kecintaan Allah pada hamba-Nya kerna patuh akan suruhan-Nya. Justeru itu, mengambil berat akan kesempurnaan amal fardu amat penting terutama pada usia muda kerna dalam usia ini manusia mudah belajar jika terdapat kesilapan dalam amalan berbanding mereka yang sudah berusia terbiasa dengan perbuatan yang sudah terbiasa.

2.     Memaknakan cinta dan ukhuwah
Fitrah pada usia muda adalah perasaan cinta. Tetapi memaknakan cinta bukan dengan merosakkan kesuciannya. Cinta yang sebenar adalah yang mendorong membuat kebaikan, jika mengajak kepada kemungkaran ketahuilah ia cinta palsu.Seringkali diusia muda, remaja terkalah dengan perasaan cinta.Tetapi cinta yang hakiki yang membawa manusia itu lebih dekat dengan redha ilahi.
Cinta juga luas definisinya.Tidak hanya terikat dengan cinta pasangan lelaki dan perempuan. Tetapi cinta membuah ukhuwah sesama islam. Banyak orang berdiri gah di atas podium membicara tentang ukhuwah.Malangnya turun ke bawah berinteraksi dengan masyarakat dengan tongkat dan cemeti. Segalanya dilihat jelek, jika ada saudara melakukan kesalahan, bukan memandang dengan pandangan rahmat bahawa ia perlu diselamatkan. Lebih parah ada berani bertindak menghukum.
Sewaktu muda biasa manusia punyai banyak kenalan atas beberapa faktor seperti belajar bersama, satu tempat bekerja dan sebagainya. Tetapi hubungan ini merugikan jika ia tidak dimaknakan. Jika berlainan jantina perlu ada batasan.Manakala jantina yang serupa seharusnya meletakkan hubungan persahabatan itu tidak sekadar keluar makan bersama, belajar dan bekerja bersama tetapi ingin taat kepada Allah juga bersama.
Amat rugi mereka yang berukhuwah hanya untuk kepentingan dunia semata.Kerna dua orang yang saling mencintai kerana-Nya adalah merupakan salah satu golongan yang mendapat naungan Allah kelak.Tanggalkan ego siapa lebih berusia.Buangkan rasa siapa lebih berilmu.Simpan sebentar perbezaan fahaman kita selagimana ianya benar.Ikatlah ukhuwah itu kerana-Nya dan untuk-Nya.
Seperkara lagi, ukhuwah atau rasa cinta tidak semestinya kita bersama dalam waktu yang lama.Tetapi ingatan yang ikhlas terutama dalam berdoa.Antara perkara kerugian orang muda ialah jauh dari orang-orang berilmu dan para ulama’ kerana pada mereka terdapat hikmah di samping tidak mengabaikan hubungan kekeluargaan.

3.     Tanam ketinggian cita-cita dan memanfaatkan potensi
Banyak di antara pemuda merasakan dirinya berada di ‘luar peta’, tiada siapa yang melihatnya dan bebanan tugas pada bahu orang lain. Jika ditanya mengapa tidak kamu menjadi seperti sekian-sekian orang yang bermanfaat buat ummat melalui pelbagai ilmunya atau usahanya? Tentu sekali dia akan mengatakan sudah ada mereka yang mengisi kekosongannya.Mengapa perlu bersusah-payah segala?
Tetapi mengapakah tidak pemuda berusaha menjadi sebahagian darinya?Moga dengan itu keberadaan kita di dunia tidak hanya menambah bilangan angka kosong tetapi mempunyai peranan tersendiri. Juga menjadi tiket perlepasan kita apabila disoal tanggungjawab kita di hadapan Allah kelak seperti firman-Nya:
Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri{14}. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).{15} [Al-Qiyamah: 14-15]
Tambahan lagi, cita-cita yang tinggi itu bukanlah menjadi orang yang berharta, ataupun yang ternama.Tetapi makna cita-cita yang tinggi itu adalah hidup dalam keadaan mulia dan mati dalam keaadan beriman dengan mengikuti jalan baginda s.a.w dan menyebarkannya. Itulah cita-cita teragung yang sepatutnya menjadi impian setiap jiwa terutama pemuda kerana pada usia emas ini mereka punya segalanya.
Di samping itu, mengenal potensi diri dan langkah pembinaannya amat penting kerana setiap manusia pasti memilikinya tinggal lagi berbeza-beza.Cuma mungkin ada tersalah menggunakannya atau mungkin tersilap memilihnya.Sebab itu tiada istilah cemburu dalam potensi.Yang ada adalah daya saing. Bagaimana potensi itu dibina dan di mana ia berfungsi?
Nabi s.a.w ada bersabda dalam hadis:
Setiap orang diberi kemudahan sesuai dengan tujuan ia diciptakan. (HR Muslim)

4.     Waktu terbuang kerana lebihan hiburan dan menunda pekerjaan
Berhibur yang syara’ tiada salahnya. Bahkan ia juga makanan pada jiwa. Tetapi berlebihan dengannya menjadikan ia sakit, rosak bahkan boleh mematikan. Sebaiknya setiap detik yang berlalu itu disusun perancangannya agar tidak berlalu dengan sia-sia.Definisi kepada hiburan itu sendiri luas dan berbeda mengikut individu. Apapun mereka yang beranggapan perkara kebaikan itu suatu hiburan akan terbebas dari belenggu pembuangan masa dengan sia-sia.
Beralih kepada sikap menunda, hari ini ia seakan menjadi suatu tradisi. Tetapi ia bukanlah suatu perkara yang baik kerna ia bisa ‘membunuh’ kita seperti pujangga orang bijaksana:
Barangsiapa yang menanam benih ‘nanti’ akan tumbuh sebuah taman bernama ‘mudah-mudahan’, yang memiliki buah namanya ‘seandainya’, yang rasanya adalah ‘kegagalan’ dan ‘penyesalan’.
Kata-kata ini sejajar dengan firman Allah s.w.t:
Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka). [Al-Hijr:3]
Kehidupan manusia mempunyai banyak tanggungjawab yang mana melebihi masa yang ada.Maka sikap bertangguh dan menunda ini sebenarnya membuatkan kita lalai seterusnya segala tuntutan ke atas kita terabai.Demikian, sikap negative ini sepatutnya dinyahkan daripada bersarang dalam perbuatan kita.

Kesimpulan: Masa muda amat berharga
Sesungguhnya pertolongan tidak akan datang dengan hanya berangan, redha dengan keadaan sekarang, berterusan untuk berehat, mengutamakan keselamatan (takut berjuang). Bahkan ianya hanya akan datang dengan mempesembahkan pasukan-pasukan korban, gerombolan syuhada’ merentasi pertarungan berdarah, dan jihad yang pahit.
Untuk itu persediaan untuk menghadapi kesemua itu perlu kesabaran dan perancangan bahkan dalam tempoh yang lama. Jika usia muda tersia maka kemenangan itu juga akan tiba dalam tempoh yang lama. Justeru anak muda, persiapkan dirimu dengan ‘senjata’ bukan barangan di medan juang semata, tetapi ilmu, kesedaran dan kekuatan hubungan dengan-Nya.
Sebuah syair tertulis;
Biarkan daku menggapai ketinggian yang tidak mampu dicapai insan,
Kemuliaan yang tersukar pasti jiwa akan tercabar,
yang mudah pasti hanya untuk orang yang lemah,
Engkau mahu mencapai ketinggian dengan harga murah,
Sedangkan untuk mendapat madu mestilah disengat lebah.


Terima Kasih Baca Cerita Saya

Dicatat oleh Unknown di 7:50 pm No comments:

Followers

Disclaimer

Contact Me
Facebook Badge
Faresha Azahar

Clock

ChatBox


Klik !

Blog Archive

  • ▼  2013 (17)
    • ▼  November 2013 (3)
      • BEST KE MATEMATIK ?
      • SIAPA JODOHKU ?
      • MUDA SEBELUM TUA
    • ►  September 2013 (2)
    • ►  August 2013 (1)
    • ►  July 2013 (4)
    • ►  January 2013 (7)
  • ►  2012 (13)
    • ►  December 2012 (4)
    • ►  November 2012 (1)
    • ►  October 2012 (5)
    • ►  September 2012 (3)

Credit

Big Thanks To
Template : Denim
Design : Nurrul
Owner : Faresha
Others : ♥♥♥♥